Global

Negara rantau Asia Tengah berpotensi jadi rakan kerjasama strategik Malaysia

Negara-negara rantau Asia Tengah yang sedang pesat membangun berpotensi menjadi rakan kerjasama strategik yang baik untuk Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaringan dengan negara-negara yang sedang pesat membangunkan itu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dan ia amat penting dalam keadaan dunia yang tidak menentu hari ini.

“Kalau dilihat dari segi pelaburan, negara seperti China, Jerman, Amerika Syarikat itu pelaburan besar, tentunya akan beri manfaat dari segi peluang pekerjaan, pusat kecemerlangan latihan.

“Tetapi kekuatan negara ekonomi sedang pesat membangun ini terutama Uzbekistan adalah jaringan dengan syarikat peringkat pertengahan yang akan melibatkan secara langsung dengan pengusaha dan di peringkat pertengahan (di Malaysia),” katanya pada hari akhir lawatan beliau ke Uzbekistan semalam.

Anwar sebelum ini mengadakan lawatan rasmi enam hari ke tiga negara Asia Tengah. Sebelum ke Uzbekistan perdana menteri mengadakan lawatan ke Kyrgyzstan dan Kazakhstan.

Anggota delegasi Malaysia yang mengiringi Anwar dalam lawatan ke Uzbekistan adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Sementara itu tambah Anwar, hubungan antarabangsa dan kerjasama dengan negara sedang pesat membangun seperti Uzbekistan sudah tentunya akan banyak membantu Malaysia kerana mempunyai pendekatan dan strategi sama.

Related Articles

Back to top button