PKS perlu tembusi pasaran antarabangsa – PM Anwar
Perdana Menteri mahu usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menembusi pasaran luar negara dipertingkat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita di akhir lawatannya ke Uzbekistan berkata, PKS perlu dibantu dalam mewujudkan jaringan yang baik dengan syarikat dari negara lain untuk memasarkan produk mereka sekaligus mengangkat kedudukan syarikat terbabit.
“Perlunya (ada) jaringan untuk syarikat kecil yang modalnya mungkin puluhan juta sahaja.
“ Katakanlah ada 30, 40 syarikat yang agak sederhana dari segi rangkaian kedai ataupun dari segi produk… tentunya bukan bernilai berbilion ringgit tetapi ia (bantuan seperti itu) memberikan jaringan yang penting bagi syarikat kecil dan sederhana di Malaysia,” katanya pada sidang media di Samarkand itu.
Pada 2023, perdagangan Malaysia dengan Uzbekistan mencatat jumlah RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan sebanyak RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import RM1.99 juta (AS$414,518).
BACA LAGI: KESUMA lancar geran padanan program latihan industri PKS, syarikat baharu
Sementara itu menurut Anwar, Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia di Silk Road Samarkand Complex yang diadakan di sini pada Sabtu mendapat sambutan amat luar biasa daripada syarikat Malaysia dan Uzbekistan.
Kehadiran peserta jelasnya mencecah lebih 200 terdiri daripada syarikat utama sama ada dimiliki oleh kerajaan atau swasta dengan komitmen perdagangan yang dijana bernilai kira-kira RM710 juta.
“Tetapi saya jangka dalam rundingan mereka (syarikat-syarikat) dalam satu dua hari ini tentunya akan ada penambahan yang ketara,” jelasnya.