PM Anwar dihadiahkan sepersalinan ‘Chapan Bukhara’, oleh pimpinan Uzbekistan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai persahabatan yang terjalin dengan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev.
Penghargaan itu dinyatakan Anwar melalui satu hantaran di laman Facebooknya sebaik mengakhiri lawatan kerja rasminya ke negara Asia Tengah itu.
“Saya zahirkan ucapan penghargaan tertinggi atas layanan luar biasa sepanjang kami berada di Uzbekistan sejak Jumaat lalu. Berat hati untuk melangkah meninggalkan Uzbekistan selepas hubungan erat yang terjalin meskipun hanya dalam tempoh singkat.
Saya juga amat menghargai hubungan persahabatan yang telah terjalin dengan Presiden Shavkat. Terima kasih atas keikhlasan yang dihulurkan sepanjang pertemuan dan perbincangan kami,” kata perdana menteri.
Terdahulu melalui hantaran sama, Anwar berkongsikan hasil lawatan kerjanya ke tiga negara Asia Tengah itu termasuk Kyrgyzstan, Kazakhstan.
Lawatan itu jelasnya telah berjaya menjana potensi pelaburan dan perdagangan sekurang-kurangnya berjumlah lebih RM2.1 bilion, yang bakal memanfaatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan hasil lawatan rasmi ini yang telah membuka lembaran baharu dalam hubungan antara Malaysia dengan negara-negara di benua Asia Tengah, ” kata Anwar.
BACA LAGI: PM Anwar diberi sambutan rasmi di Istana Presiden Kuksaroy
Beliau turut memaklumkan, pimpinan Kerajaan Uzbekistan turut menghadiahkannya sepersalinan pakaian tradisi rasmi khusus buat pemimpin tertinggi Bukhara dikenali sebagai Chapan Bukhara.
Timbalan Perdana Menteri Pertama Uzbekistan, Achilbay Jumaniazovich Ramatov dan Penasihat Kepada Presiden Uzbekistan, Muzaffar Komilov kemudian mengiringinya dan delegasi Malaysia ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bukhara untuk berlepas pulang ke tanah air.