Global

PM Anwar gesa AS guna veto, segera tamatkan konflik Palestin-Israel

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar terus mengecam beberapa negara barat yang terus bersikap hipokrit dalam isu Palestin.

Melalui satu temu bual eksklusif dengan Al Jazeera pada Ahad, Anwar terus mensasarkan kritikannya kepada Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai sekutu kuat rejim Zionis Israel.

Tegas Anwar, negara itu perlu menghentikan penyaluran bekalan senjata kepada Israel serta menggunakan kuasa vetonya untuk menamatkan kekejaman di Palestin.

“Saya tengok kebanyakkan negara Barat kelihatan hipokrit di sebalik kebenaran. Mereka memperjuangkan hak asasi dan demokrasi, namun mereka membiarkan kekejaman berterusan ke atas mereka yang tidak berdosa.

“Masyarakat antarabangsa telah menyatakan pendirian secara jelas bahawa pihak berkuasa termasuk Amerika Syarikat bahawa perlu melakukan apa sahaja yang boleh untuk menghentikan kekejaman dan perang (di Gaza) ,” katanya sambil menegaskan AS mempunyai gabungan kemahiran diplomatik, pengaruh dan mekanisme yang boleh digunakan dalam menangani kekejaman itu.

Mengulas lanjut beliau turut menegaskan, kekejaman Israel ke atas Palestin merupakan satu bentuk penjajahan.

“Ramai yang bercakap mengenai peristiwa Nakbah (perang 1948) dan ancaman, ini sebenarnya penjajahan berterusan.

“Jelas Israel adalah sebuah negara apartheid kerana kita boleh lihat dengan jelas bagaimana tindakan mereka (Israel) terhadap rakyat Palestin dan bagaimana mereka menguasai tanah milik rakyat itu.

“Melihat kepada fakta dan impak di Gaza, mana-mana pihak yang waras tidak boleh menafikan bahawa ia adalah pembersihan etnik atau apartheid besar-besaran. Ia telah sampai ke tahap itu,” katanya.

BACA LAGI: Ulama Besar Australia anggap PM Anwar satu-satu pemimpin yang tegas bela Palestin

Anwar turut mendedahkan, pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco tahun lalu, beliau menyatakan pendirian Malaysia dengan menyeru Presiden AS, Joe Biden untuk melakukan gencatan senjata dengan segera.

Namun katanya, tidak ada sebarang respon daripada AS mahupun Joe Biden.

Ketika ditanya wartawan Sami Zeidan sama ada beliau bersetuju dengan kumpulan hak asasi manusia antarabangsa yang melabelkan AS sebagai bersubahat dengan Israel dalam perang di Gaza, Anwar berkata:

“Ia sesuatu yang tidak boleh dinafikan. Saya tidak berada di kedudukan untuk menafikannya kerana faktanya begitu jelas.

“Jelas (Israel adalah negara apartheid), bagaimana lagi kita boleh menjelaskan tindakan mereka (Israel) terhadap rakyat Palestin dan hakikat bahawa mereka terus menguasai tanah yang milik rakyat Palestin.” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button