Semasa

Polis siasat ugutan bunuh dihantar kepada Teresa Kok

Pihak berkuasa polis membuka satu kertas siasatan susulan dakwaan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim bahawa beliau diancam bunuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa melalui satu kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya menjalankan siasatan kes itu dibawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama.

Terdahulu, Teresa yang merupakan Naib Pengerusi DAP mendakwa menerima ancaman bunuh dalam sekeping kertas bersama sampul surat berisi dua butir peluru pada Sabtu.

Menyifatkan tindakan individu terbabit sebagai tidak masuk akal, beliau mempersoalkan kesalahan yang telah dilakukan sehingga menerima ugutan bunuh.

“Semalam apabila pulang ke kediaman rumah, saya mengambil surat di peti surat, namun saya dapati ada sampul surat mengandungi objek keras di dalamnya.

“Semasa membuka sampul surat dan keluarkan kandungannya, saya lihat ada dua peluru dan kertas ugutan.

“Saya memang hairan dan tidak mengerti mengapa saya menerima ugutan peluru dan surat seperti ini?” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

BACA LAGI: Ugutan bunuh bukti budaya takfiri, ekstremisme menular di kalangan melayu konservatif

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil meluahkan rasa kesal terhadap ugutan yang dihantar kepada Teresa.

“Saya kesal kerana perkara seperti ini tidak harus diperlakukan kepada Ahli Parlimen di pihak kerajaan mahupun pembangkang,” tegas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Related Articles

Back to top button