Semasa

Semarak semangat Bulan Kebangsaan, Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dilancarkan

Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, Kementerian Komunikasi bakal menggerakan insiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG)

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, inisiatif untuk menyemarakkan perasaan cintakan negara dan ia perlu bermula dari rumah yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga tersayang.

“Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia, yang mana ia akan dikibarkan pada setiap detik kejayaan yang ditempa di seluruh dunia.

“Amalan mengibarkan Jalur Gemilang terutamanya ketika sambutan Bulan Kebangsaan, perlu sentiasa dipergiat,” katanya.

Beliau yang juga jurucakap bagi Kerajaan Perpaduan sebelumnya berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif itu Fahmi berkata, beberapa pengisian program akan diadakan termasuk pameran kenegaraan, persembahan kesenian, reruai foto, pertandingan mewarna kanak-kanak dan segmen ekspresi merdeka dan pameran miniatur berkonsepkan kemerdekaan, permainan tradisional dan busana tradisional.

Pihaknya turut menerbitkan Kompilasi Lagu Patriotik dan Perpaduan, yang mengandungi 22 lagu yang boleh dimuat turun secara percuma di portal rasmi Merdeka360.

BACA LAGI: ‘Perpaduan hadiah paling bermakna untuk saya’ – Sultan Ibrahim

“Saya berharap kompilasi lagu ini, dimanfaatkan di sekolah-sekolah dan Komuniti Madani bersempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, agar kita dapat meraikan suasana itu dengan keadaan aman dan damai bersatu padu, sambil diiringi azam baru untuk membangunkan negara,” katanya.

Fahmi sementara itu turut menggesa semua pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna, iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh, kerana ia adalah gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara.

Related Articles

Back to top button