Semasa

JWP peruntuk RM1.1 juta sebagai sumbangan kepada bakal jemaah haji Wilayah Persekutuan

Sebanyak RM1.102 juta diperuntukkan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi sumbangan wang tunai kepada 2,204 bakal jemaah haji di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan sumbangan menerusi Program Usaha Jaya Insan (PUJI) itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan bagi penyediaan kelengkapan ke Tanah Suci.

Sumbangan kepada bakal jemaah diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa kepada bakal jemaah pada satu majlis penyerahan sumbangan yang diadakan di Putrajaya lewat petang semalam.

“Seramai 579 warga Putrajaya menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM289,500.

“Pelaksanaan program ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim dan jalinan ukhuwah antara pemimpin masyarakat dan komuniti setempat,” menurut PPj.

BACA LAGI: Tahap keselamatan jemaah haji jadi keutamaan kerajaan

Pada majlis penyerahan sumbangan itu, Dr Zaliha turut menitipkan beberapa peringatan kepada jemaah haji.

Antara lain beliau mengingatkan mereka untuk mematuhi panduan kesihatan yang disarankan oleh Lembaga Tabung Haji dan mengamalkan pemakanan seimbang.

Dr Zaliha turut mendoakan agar mereka dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna.

Related Articles

Back to top button