Kepayahan hidup keluarga Azlan dapat perhatian Perdana Menteri
Gambar yang tular di media sosial memaparkan seorang ibu menggendong bayinya yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan menaiki motosikal mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan.
“Mohon sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarga ini untuk salurkan kepada saya di ruangan komen agar kami dapat menghubungi mereka.
“Hal ini mendapat perhatian Anwar dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini untuk menambah baik kehidupan seharian mereka,” katanya melalui satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, warganet telah mengenal pasti pasangan tersebut yang mendiami kediaman yang terletak di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah di Kedah.
BACA LAGI: PM Anwar hulur sumbangan, bantu rawatan adik Nur Khayla Azzahra
Difahamkan, cahaya mata pasangan Mohd Azlan Ishak, 36, dan isterinya, Norhidayu Halim, 35 berusia 11 bulan itu perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan untuk menjalani aktiviti harian susulan menghidap masalah paru-paru kronik.
Mohd Azlan yang bekerja sebagai pembantu di pelantar ikan yang dibayar gaji harian sebanyak RM50 sehari tidak mampu membayar tambang teksi kerana mempunyai sumber pendapatan terhad.
Kekangan itu menyebabkan mereka perlu berulang-alik ke hospital menaiki motosikal bagi mengambil ubat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kira-kira 20 kilometer dari kediaman mereka.