Global

Malaysia rakam ucapan duka susulan tragedi menimpa Presiden Iran

Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Presiden Iran, Ebrahim Raisi; menteri luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa lain terkorban susulan insiden helikopter terhempas.

“Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa, rakyat Iran dan semua yang terkesan oleh insiden ini. Malaysia bersolidariti dengan Iran dan berdoa bersama negara tersebut pada waktu yang mencabar ini,” kata Kementerian Luar Negeri.

Presiden Raisi dan rombongannya dalam perjalanan pulang dari sempadan dengan Azerbaijan selepas merasmikan projek empangan, apabila helikopter mereka terhempas dalam keadaan cuaca buruk di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Para petugas mencari dan menyelamat menemui lokasi nahas di hutan Dizmar selepas operasi selama 18 jam kerana dihalang oleh kabus tebal, hujan dan muka bumidi kawasan itu.

Kerajaan Iran kemudianya mengesahkan Ebrahim Raisi, Hossein dan semua penumpang lain di dalam helikopter tersebut telah terkorban dalam nahas terbabit.

Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengisytiharkan tempoh berkabung selama lima hari dan meluluskan pelantikan Naib Presiden Mohammad Mokhber sebagai presiden sementara.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan rasa duka atas insiden tersebut.

BACA LAGI: Menteri China puji ketegasan pentadbiran PM Anwar tidak tunduk kepada kuasa besar

Raisi jelasnya seorang yang terbuka dan merupakan pemimpin yang selesa untuk mengadakan kerjasama.

“Saya sempat ketemu almarhum Presiden Raisi di New York, Amerika Syarikat pada tahun lalu dan telah menekuni pelbagai perkara yang dekat dengan kedua-dua negara.

“Saya selesa bekerjasama dengan beliau dan tragedi ini tentunya menyedihkan dan meninggalkan bekas yang mendalam terutamanya dalam perjuangan membela warga Palestin,” kata Anwar dalam kenyataan.

Related Articles

Back to top button