Pasaran eksport utama Malaysia gambarkan pemulihan ekonomi – MITI
Perdagangan Malaysia mengekalkan prestasi kukuh dan trend peningkatan pada April 2024, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Melalui satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan, perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan dua digit 12.1 peratus kepada RM221.74 bilion berbanding April 2023.
Ini merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang keempat bulan berturut-turut.
MITI turut memaklumkan, eksport pada April 2024 meningkat 9.1 peratus tahun ke tahun kepada RM114.72 bilion.
“Pertumbuhan ini disumbangkan oleh kenaikan eksport jentera, kelengkapan dan peralatan, kimia dan bahan kimia, petroleum mentah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli,” katanya kenyataan itu.
Melalui kenyataan sama, MITI berkata eksport ke Asean, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang merekodkan pertumbuhan dua digit manakala eksport ke Republik Rakyat China (China) pulih daripada pertumbuhan negatif menggambarkan pemulihan ekonomi sedang berlaku di pasaran eksport utama Malaysia.
Kementerian itu berkata bahawa empat bulan pertama tahun 2024 mencatat nilai tertinggi yang pernah direkodkan untuk tempoh tersebut bagi perdagangan, eksport, dan import dengan perdagangan meningkat 8.3 peratus kepada RM912.27 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2023.
Eksport meningkat 3.8 peratus kepada RM477.05 bilion dan import naik 13.7 peratus kepada RM435.22bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM41.83 bilion.
BACA LAGI: Dasar berkesan, pengurusan yang baik faktor pemangkin pertumbuhan ekonomi – MOF
Sementara itu, bagi perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan pada April 2024 masing-masing lebih rendah sebanyak 9.3 peratus, 10.8 peratus, 7.6 peratus dan 39.4 peratus berbanding pada Mac 2024.
“Pengurangan ini disebabkan oleh penurunan dalam perdagangan dengan rakan dagang utama iaitu Taiwan, Asean, India, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Di samping itu, MITI berkata eksport Malaysia ke rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada April 2024 meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM78.03 bilion.