Tiga agensi bermandat bumiputera diperkasa semula secara berstrategi, kata Rafizi
Kementerian Ekonomi melaksana penjajaran semula tiga agensi bermandat bumiputera di bawah kawal seliaannya agar selaras matlamat memperkasa dan melonjakkan penyertaan ekonomi bumiputera.
Menterinya, Rafizi Ramli berkata,usaha secara strategik, mampan dan berkesan itu akan dijayakan melalui kerjasama pintar dan inovatif antara sektor awam dan swasta.
Ia jelasnya akan membabitkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Yayasan Peneraju (YP) dan Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas).
“Penjajaran semula strategi dan pelaksanaan dilaksanakan setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan melalui sesi libat urus yang telah dijalankan awal tahun ini.
“Inisiatif penjajaran semula ini juga dilakukan susulan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) yang telah menggariskan strategi untuk memperkukuh peranan agensi mandat bumiputera dalam penyampaian agenda bumiputera,” katanya.
Terdahulu Rafizi menyampaikan ucapan pada Majlis Menskalakan Penciptaan Nilai Bumiputera di Cyberjaya pada Isnin.
Lebih 500 orang termasuk wakil perusahaan bumiputera pelbagai saiz, pemimpin korporat, syarikat berkaitan kerajaan dan agensi kerajaan hadir pada majlis itu.
BACA LAGI: Inisiatif KEB 2024 langkah tepat perkasa Bumiputera
Menerusi penjajaran semula itu YP akan fokus kepada pembangunan bakat untuk meningkatkan kelas pencipta nilai bumiputera manakala Teraju akan bertindak sebagai ‘super-scaler’ dalam memacu pertumbuhan dan memperluas skala syarikat bumiputera kepada tahap lebih tinggi dan kompetitif di arena global.
Sementara Ekuinas pula akan terus memacu penciptaan kekayaan dan penglibatan ekonomi bumiputera melalui pemilikan ekuiti korporat.