Global

Presiden Interim Iran beri jaminan hubungan baik dengan Malaysia akan diperkukuh

Republik Islam Iran memberi jaminan bahawa hubungan baik dan kerjasama kedua-dua negara akan terus dipelihara serta diperkukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu diberikan Presiden Interim, Mohammad Mokhber ketika beliau menghubunginya untuk merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Presiden Iran, Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian susulan insiden helikopter terhemas di hutan Dizmar di wilayah Azerbaijan Timur.

“Saya juga sempat mengimbau pertemuan sebanyak dua kali dengan Allahyarham Presiden, Ebrahim Raisi dan Hossein Amir-Abdollahian di New York dan Riyadh pada tahun lalu.

“Saya turut memberi jaminan kepada Mokhber bahawa Malaysia akan meneruskan komitmen yang dibuat kepada Iran di bawah kepemimpinan Allahyarham Presiden sebelum ini.

“Mokhber merakamkan penghargaan kepada Malaysia di atas perutusan budi dan takziah sementalahan menyifatkan kedua-dua negara adalah rakan strategik yang menyanjung hubungan politik dan ekonomi yang sangat tinggi,” katanya.

BACA LAGI: Malaysia rakam ucapan duka susulan tragedi menimpa Presiden Iran

Menurut Anwar beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia akan mewakilkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu ke majlis pengebumian kedua-dua pemimpin berkenaan.

Terdahulu, helikopter yang membawa Ebrahim dan delegasinya dilaporkan terpaksa melakukan ‘pendaratan kecemasan’ di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Insiden berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang dari satu majlis perasmian empangan bersama Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev.

Related Articles

Back to top button