Semasa

Skim Keilatan diperluas kepada pekerja asing – KESUMA

Kerajaan MADANI bersetuju untuk memperluaskan Skim Keilatan kepada pekerja asing yang bekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Steven Sim berkata, ketika ini kebajikan pekerja tempatan termaktub di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 atau Akta 4 iaitu Skim Bencana Pekerja dan Skim Keilatan, manakala pekerja asing hanya dilindungi dibawah Skim Bencana Pekerja.

“Perlindungan Skim Keilatan itu adalah bersifat 24 jam meliputi keilatan dan kematian atas pelbagai sebab kepada pekerja asing terbabit.

“Ada enam faedah kesemuanya iaitu faedah ilat, pencen ilat, bantuan ilat, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani, pencen penakat dan kemudahan pengurusan mayat,” jelasnya.

Beliau berkata begitu pada satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pengurusan Pekerja Asing bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Putrajaya pada Isnin.

Tambah Sim, ketika ini sekiranya berlaku keilatan di luar bencana kerja, perkara berkenaan tidak membabitkan kos penghantaran pulang jenazah yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan atau pihak majikan.

“Dengan adanya Skim Keilatan yang ditawarkan kepada pekerja asing, maka di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mereka akan mendapat RM4,500 untuk bantuan kos penghantaran pulang jenazah pekerja asing itu,” tambahnya.

Difahamkan sebelum ini PERKESO melaksanakannya penghantaran pulang jenazah secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Melalui Skim Keilatan pekerja asing, PERKESO dijangka mampu berjimat kira-kira RM25.38 juta setahun bagi tujuan itu.

Related Articles

Back to top button