Semasa

Kempen #MahasiswaUiTMBantah satu kekhilafan – Majlis Perwakilan Pelajar

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengakui kempen #MahasiswaUiTMBantah yang digerakkan mereka baru-baru ini merupakan satu kekhilafan.

Melalui satu kenyataan MPP UiTM berkata, kempen tersebut telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada umum susulan kegagalan mereka menerangkan kronologi kes yang sebenar dan gagal mengolah pemakluman penuh yang lebih jelas.

Justeru mereka mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada umum.

“Setelah diteliti, kami mengakui bahawa kenyataan yang telah dikeluarkan pada 14 Mei 2024 baru-baru ini adalah sedikit mengelirukan apabila kami tidak menerangkan aspek kronologi kes yang sebenar.

“Lantaran perkara yang telah berlaku, keharmonian telah terganggu kerana kaedah penyampaian yang kurang jelas dan tidak sejajar dengan niat asal pelaksanaan kempen.

“Tambahan pula, interpretasi perkara 153 juga kami tidak jelaskan dengan sebaiknya menyebabkan timbul salah faham kepada umum,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 14 Mei lalui, berlaku protes dalam kalangan pelajar UiTM terhadap idea membuka sementara kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) itu kepada tujuh pegawai perubatan bukan bumiputera bagi melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat pakar dalam bidang pembedahan kardiotoraks.

Melalui kempen yang digerakkan, MPP UiTM mengajak pelajar berpakaian hitam sebagai tanda menolak kemasukan pelajar bukan bumiputera ke institusi pendidikan itu.

BACA LAGI: Zambry bidas pihak sebar fitnah, cuba cetus kecelaruan

Sebelum ini Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah bincang atau membenarkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada pelajar bukan Bumiputera seperti didakwa.

Kerajaan jelasnya berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 – UiTM ditubuhkan menurut dan mengikut peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan

Justeru beliau percaya ada pihak tertentu sengaja memainkan isu membuka kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke institusi pengajian itu bagi menimbulkan kecelaruan dan perbalahan pelbagai pihak.

Related Articles

Back to top button