Malaysia lakar sejarah, rangkul gelaran juara berganda Piala Dunia Takraw 2024
Stadium Titiwangsa menjadi saksi kejayaan luar biasa skuad sepak takraw negara apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024 malam tadi.
Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan dihadapan kira-kira 3,000 penyokong untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.
Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini selepas gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara double.
Aidil-Noraizat mencatat kemenangan 17-16, 15-13 ke atas gandingan Thailand Seksan Tubtong-Kittiphum Sareebut dalam final double.
BACA LAGI: KBS perhebat kerjasama, gilap potensi dan bakat belia negeri Kelantan
Pingat emas dalam acara double dan regu itu adalah yang pertama buat Malaysia dalam saingan Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 2011.
Sebagai rekod, kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.
Kejayaan skuad negara itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Melalui satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi, Anwar mengucapkan tahniah atas pencapaian yang dianggap luar biasa itu.
“Satu pencapaian yang membanggakan dan luar biasa! Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang!’ katanya.