Semasa

Malaysia tekad perkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti – Nik Nazmi

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menyatakan tekad untuk terus memperkukuh agenda pemuliharaan biodiversiti di negara ini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan bersempena dengan Hari Biodiversiti Antarabangsa (IDB) berkata, sebagai satu daripada 17 negara yang paling kaya dengan biodiversiti, Malaysia telah pun mengambil langkah untuk mengintegrasikan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KMGBF) di peringkat kebangsaan berdasarkan keadaan, keutamaan dan keupayaan negara.

“Dalam hubungan ini, Malaysia menjadi negara ASEAN pertama dan antara negara parti kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) yang terkehadapan dalam melaksanakan semakan semula terhadap dasar biodiversiti peringkat kebangsaan supaya selaras dengan keperluan semasa dan KMGBF.

“Biodiversiti merupakan khazanah negara yang sangat berharga dan memuliharanya adalah tanggungjawab kita bersama. Berbekalkan komitmen dan iltizam yang tinggi, saya yakin kita dapat menjalankan amanah bagi memulihara aset semula jadi kita demi kesejahteraan generasi masa kini dan masa depan,” katanya

KMGBF bertujuan menyeru semua pihak berkepentingan bertindak untuk menghentikan dan memulihkan kehilangan biodiversiti dengan menyokong pelaksanaan kerangka biodiversiti global.

Sementara itu menurut Nik Nazmi, dalam usaha mengukuhkan agenda pemuliharaan biodiversiti di negara ini, pelbagai langkah progresif telah dilaksanakan melalui inisiatif nasional seperti insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT), Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3) serta Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar.

Bagi memeriahkan sambutan IDB, NRES jelasnya telah merancang pelbagai aktiviti antaranya sesi dialog awam bagi menambahbaik pelaksanaan EFT, sesi dialog awam bagi penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) dan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi (NHM) Malaysia, sesi bual bicara dan demonstrasi serta kuiz biodiversiti.

BACA LAGI: NRES seru kerajaan negeri pinda enakmen berkaitan penyahwartaan hutan

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2000 telah mengisytiharkan secara rasmi 22 Mei sebagai IDB.

Sambutan IDB bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat dunia berkaitan isu-isu biodiversiti, dengan tema yang dipilih bagi tahun ini ialah ‘Be part of the Plan’ atau ‘Jadilah Sebahagian Daripada Pelan’.

Related Articles

Back to top button