Penyasaran subsidi wajar, mampu elak pembaziran selain tangani isu penyeludupan
Keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia juga dilihat satu langkah wajar.
Pengarah dan penganalisis Research Institute for Indonesia, Thailand dan Singapura (ITS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib berkata, subsidi merupakan elemen wajar dalam suasana ekonomi dunia yang terus dalam ketidaktentuan.
Justeru langkah terbaharu itu pada pandangannya bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela selain memperkukuhkan kedudukan kewangan negara.
“Mungkin apa yang sedang hendak dibuat pihak kerajaan ialah menghuraikan dari satu sektor ini kepada sektor yang lain. Mungkin nak alihkan subsidi itu kepada bentuk added value, kepada satu sektor yang lain.
“Sebagai contoh memacukan keusahawan dalam kalangan B40 dan sebagainya. Jadi itu akan beri dampak yang positif,” katanya dipetik program Niaga Awani pada Rabu.
Mengulas lanjut Md Shukri berkata, penyasaran subsidi dapat menghasilkan penjimatan kewangan yang besar seterusnya dialihkan untuk memberikan bantuan tunai kepada golongan B40 yang memerlukan.
Langkah tersebut sekiranya dilaksana secara tepat juga jelasnya dapat memastikan pembaziran dan meningkatkan kecekapan serta menangani masalah penyeludupan.
BACA LAGI: KPDN perluas projek SKSD, 14 jenis kenderaan barangan boleh mohon diesel bersubsidi
Pada Selasa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi ke atas bahan api diesel yang hanya akan melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Tambah beliau, keputusan itu tidak melibatkan pengguna Sabah dan Sarawak kerana penduduk di sana kebanyakannya menggunakan diesel untuk urusan seharian.