Anwar bincang kerjasama bantu Palestin pada pertemuan dengan Fumio Kishida
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Jepun, Fumio Kishida pada Khamis.
Menerusi pertemuan itu, kedua pemimpin menilai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Jepun meliputi pelbagai bidang termasuk pelaburan, perdagangan, teknologi tinggi, peralihan tenaga, kerjasama alam sekitar, pertahanan dan keselamatan, pembangunan keupayaan dan bakat serta pendidikan tinggi.
“Kami berdua juga turut menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk konflik di Palestin yang mana saya sekali lagi menyatakan solidariti buat rakyat negara itu,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di laman sosialnya.
Menurut Anwar, Jepun menyatakan kesudian mereka untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melingkupi aspek kesihatan, pengurusan sisa pepejal dan pembangunan semula kawasan yang musnah.
Anwar kini berada di Tokyo, Jepun untuk lawatan kerja tiga hari bermula Rabu.
BACA LAGI: Kerajaan tekad noktahkan kemiskinan termasuk melalui penggubalan Dasar Gaji Progresif
Beliau dijangka kembali ke tanah air selepas menunaikan solat Jumaat di Tokyo Camii Mosque, masjid terbesar di Tokyo hari ini.
Sementara itu dalam hantaran sama Anwar menyatakan harapan agar hubungan dengan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi Malaysia.