Malaysia komited pimpin ASEAN ke arah kestabilan, kemakmuran
Perdana Menteri menyatakan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan kepimpinan dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran global yang semakin meningkat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui ucaptama di Persidangan Nikkei (Masa Depan Asia) ke-29, di Tokyo pada Khamis berkata, perdagangan, pelaburan dan teknologi kini sering digunakan sebagai senjata dalam persaingan antara kuasa dunia yang menjejaskan negara-negara membangun.
“Justeru, sebagai persiapan untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia komited untuk memperkuatkan kerjasama ekonomi serantau dan mengurangkan perbezaan dalam negara-negara ASEAN.
“Usaha ini termasuk memperkenalkan kerangka Ekonomi Madani untuk pembangunan yang mampan dan inklusif serta Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan 2030 (NIMP 2030) untuk memacu industri strategik seperti semikonduktor dan keluli.
“Malaysia juga melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, menunjukkan komitmen negara terhadap kemampanan alam sekitar,” kata beliau.
BACA LAGI: PM Anwar pengerusikan mesyuarat Pemandu Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025
Dalam ucapannya, Anwar turut menggariskan kepentingan solidariti dan kerjasama di kalangan negara-negara Asia untuk mencapai masa depan yang aman, stabil dan makmur.
“Kita mesti berdiri bersama, tidak membiarkan kekuatan luaran atau persaingan tidak sihat menarik kita jauh daripada matlamat yang lebih besar,” tambah beliau.
Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru kepada tindakan kolektif untuk menghadapi perubahan ekonomi, teknologi, dan geopolitik yang pesat.