Pertahan pertemuan dengan Ismail Haniyeh, Anwar tegaskan tiada sebab tidak boleh bertemu
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakannya bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh ketika lawatan rasminya ke Qatar, baru-baru ini.
Anwar berkata, beliau dan Haniyeh sudah berkawan sejak beberapa dekad lalu, lantas tidak ada sebab mengapa mereka berdua tidak boleh bertemu.
“Adakah ia satu kesalahan (bertemu Haniyeh)? Adakah saya mempromosikan keganasan? (jawapan saya) tidak,” katanya.
Anwar berkata begitu ketika sesi soal jawab pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan ke-29 (Persidangan Nikkei) di Tokyo pada Khamis.
Pertemuan tertutup Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Haniyeh baru-baru ini mencetus pelbagai andaian lebih-lebih lagi ketika nama Malaysia sendiri dikaitkan dengan penyaluran dana kepada Hamas.
Disebalik kritikan dari beberapa negara barat, pertemuan itu turut dianggap sebagai pembuktian keberanian Malaysia yang bukan hanya berani bercakap ketika memperjuangkan hak Palestin serta mengecam keganasan Israel khususnya serangan genosid terhadap Gaza.
BACA LAGI: Aminuddin Harun sokong pertemuan PM dengan pemimpin Hamas
Sementara itu Anwar menegaskan, sebagai rakan, beliau mempunyai kewajipan untuk membantu mendapatkan penyelesaian secara aman kepada konflik itu.
Jesteru dalam pertemuan itu beliau merayu kepada Haniyeh supaya mematuhi seruan perdamaian, menerima penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, serta pertukaran tawanan.
“Saya merayu (kepada Haniyeh supaya mematuhi seruan perdamaian) sebab saya ada kelebihan. Apa kelebihan saya… saya kenal mereka (dan) mereka anggap saya kawan,” katanya ketika ditanya mengenai pertemuan itu.