Sukan

PM Anwar mahu bertemu skuad sepak takraw negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai pemimpin yang mengambil tahu perkembangan sukan negara sekalipun berdepan jadual tugas yang padat.

Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh berkata, Anwar telah menyatakan hasrat ingin berjumpa dengan skuad sepak takraw negara setelah beliau selesai dengan lawatan kerjanya di beberapa buah negara.

“Perdana Menteri ambil tahu dengan perkembangan sukan tanah air walaupun beliau sibuk dengan urusan negara di luar negara,” ujarnya.

Hannah ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) USJ 12 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada Khamis.

Terdahulu, skuad sepak takraw negara mencipta sejarah apabila meraih gelaran berganda pada saingan Piala Dunia 2024.

Selepas mengungguli acara double, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final di Stadium Titiwangsa pada Rabu.

Perdana Menteri melalui satu hantaran di laman Facebooknya menyifatkan ia sebagai pencapaian yang membanggakan dan luar biasa>

“Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan di masa akan datang!,” kata Anwar.

Sementara itu Hannah berkata, kerajaan akan mengumumkan insentif kepada skuad sepak takraw negara rentetan kejayaan bergelar juara dunia acara double dan regu sebaik perlawanan akhir berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 pada Ahad ini.

Beliau berkata, tidak mahu membuat pengumuman awal kerana mahu para pemain terus fokus dalam acara berpasukan yang bermula hari ini.

Related Articles

Back to top button