Semasa

Tak timbul birokrasi dalam agihan peruntukan baik pulih sekolah daif – Menteri

Sejumlah 694 projek membaik pulih sekolah daif di seluruh negara telah disiapkan setakat Mac lalu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Selain projek tersebut sebanyak 216 projek lain kini berada di peringkat prabina dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut garis masa ditetapkan.

“Jadi prosesnya sentiasa kita tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab itu apabila kerajaan MADANI mengambil alih kerajaan ini tumpuan utama kita adalah menyelesaikan isu sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus dan dengan baik sebelum ini dan kita ambil alih kita selesaikan.

“Jadi saya ingat soal tambah baik itu sentiasa berlaku dan penyelesaian telah pun dibuat dengan sangat baik. Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi yang lain,” katanya.

Fadhlina sebelumnya menghadiri Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein (sebelum ini SMK Arau) yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

BACA LAGI: KPM usaha tingkat infrastruktur dan infostruktur di Sekolah, selari dasar pendidikan digital

Media baru-baru ini melapor gesaan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mahu meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menghapuskan birokrasi dan memperbaiki semula sistem penyampaian sedia ada terutama dalam melibatkan peruntukan menaik taraf sekolah daif.

Bagaimanapun tegas Fadhlina, tidak timbul isu berkenaan kerana proses menaik taraf sekolah daif dipantau secara teliti dan akan dipastikan siap mengikut garis masa ditetapkan.

Related Articles

Back to top button