Semasa

Adakah PN akan beri subsidi kepada orang kaya dan warga asing jika berkuasa? – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan tindakan Ketua Pembangkang itu yang mengkritik rasionalisasi subsidi diesel.

Menyifatkan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan warga asing, Anwar menegaskan langkah menyasarkan semula pemberian subsidi bukanlah bertujuan menyusahkan rakyat.

Sebaliknya ditujukan kepada golongan kaya dan warga asing yang telah lama menikmati subsidi daripada bahan bakar berkenaan.

“Mengapa dia (Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin) sibuk menentang penyasaran (subsidi). Dia nak pertahankan siapa?

“Kita tekankan penyasaran subsidi ini untuk menarik subsidi dari golongan kaya dan warga asing. Diesel tidak digunakan majoriti rakyat.

“Bagi golongan terkait seperti pemandu teksi, peniaga kecil, nelayan, semua diberi pengecualian dan bantuan untuk menampung kenaikan kos itu,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri menerusi Perutusan Negara, mengumumkan kerajaan bersetuju memperkenalkan penyasaran subsidi bahan api diesel yang akan hanya membabitkan pengguna di Semenanjung.

BACA LAGI: Kerajaan tidak mansuh pemberian subsidi diesel – Armizan

Bagi mengelakkan sebarang kenaikan drastik dalam kos barangan dan perkhidmatan, Anwar berkata, subsidi diesel akan turut diberikan kepada peniaga yang menggunakan kenderaan komersial tertentu.

Media baru-baru ini melaporkan Hamzah mendakwa pengumuman Anwar menimbulkan rasa kurang senang orang ramai serta gagal menyatakan secara tepat bila subsidi akan dihapuskan.

Anwar berkata secara prosedur, lazimnya perdana menteri akan mengumumkan dasar dan menteri berkaitan akan memberikan butiran dan tindakan susulan.

“Dia pernah jadi menteri, kenapa dia tanya soalan seperti itu? Benda ini dilakukan sejak sebelum merdeka

“Adakah Perikatan Nasional (PN) akan terus memberi subsidi kepada orang kaya dan warga asing (jika mereka berkuasa)? Jawab itu dulu. Itulah yang akan menggusarkan rakyat,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam satu sidang media ketika menghadiri lawatan rasmi ke Jepun semalam.

Related Articles

Back to top button