Global

Lawatan PM ke Jepun capai objektif, jana potensi pelaburan baharu RM1.45 bilion

Lawatan tiga hari Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang berakhir Jumaat berjaya membawa pulang sejumlah pelaburan asing yang lumayan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, lawatan itu meraih potensi pelaburan bernilai RM1.45 bilion dan potensi eksport RM550 juta.

Tambahnya, kesemua potensi pelaburan itu diraih daripada tujuh syarikat utama Jepun dalam sektor industri jentera dan kelengkapan; kimia dan produk kimia; industri minyak dan gas; minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, serta tenaga boleh diperbaharui (RE).

“Ia bakal membantu Malaysia mewujudkan ekosistem yang kukuh dalam sektor semikonduktor, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.

“Manakala beberapa projek merupakan pemangkin penting ke arah mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih Malaysia menjelang 2050,” katanya sambil menjelaskan beberapa projek daripada pelaburan itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.

Jepun merupakan rakan dagang Malaysia yang keempat terbesar bagi tahun 2023 dengan nilai dagangan berjumlah RM156.63 bilion.

Mereka juga merupakan pelabur keempat terbesar dalam sektor pembuatan dengan nilai pelaburan RM102.11 bilion (USD29.67), melibatkan 2,810 projek dan mewujudkan sejumlah 344,120 peluang pekerjaan.

BACA LAGI: Anwar bincang kerjasama bantu Palestin pada pertemuan dengan Fumio Kishida

Anwar pada lawatan bagi menghadiri Persidangan Nikkei di Jepun sempat mengetuai delegasi pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri dan perniagaan meliputi pelbagai sektor yang berpusat di Jepun.

Antara syarikat yang terlibat adalah IHI Corporation, Nisshin OilliO Group Ltd., Tokuyama Corporation, Sumitomo Corporation, ENEOS, Mitsubishi Corporation dan Tokyo Gas.

Melalui satu hantaran, Anwar menyifatkan lawatan tersebut walaupun singkat namun berjaya mencapai objektifnya dari aspek mengukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara yang terjalin menerusi pelbagai bidang.

“Penghargaan saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya.

Related Articles

Back to top button