Global

Malaysia alu-alukan keputusan ICJ arah Israel henti serang Rafah

Malaysia mengalu-alukan arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya rejim Israel menghentikan dengan segera serangan tenteranya di Rafah.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan berkata, ICJ juga mengarahkan Israel supaya mengekalkan pembukaan pintu sempadan di Rafah bagi penyaluran bantuan kemanusiaan tanpa halangan.

“Malaysia mengalu-alukan langkah sementara tambahan yang dikeluarkan oleh ICJ berkenaan permohonan Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Gaza (Afrika Selatan lwn Israel).

“Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan ke atas Israel supaya mematuhi langkah-langkah sementara tambahan yang telah diputuskan oleh ICJ kerana kegagalan Israel untuk mematuhi arahan berkenaan adalah satu penghinaan terhadap undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.

Presiden ICJ, Hakim Nawaf Salam berkata, Israel perlu segera menghentikan serangan ketenteraannya atau sebarang tindakan lain di wilayah Rafah yang boleh membawa kemusnahan fizikal secara keseluruhan atau sebahagian kepada penduduk Palestin di Gaza.

Beliau yang dipetik laporan Agensi Anadolu (AA) turut membuat arahan agar Israel untuk memastikan akses tanpa halangan kepada mana-mana suruhanjaya siasatan, misi pencarian fakta atau badan siasatan yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjalankan siasatan genosid di Gaza.

BACA LAGI: Rakyat Palestin sampaikan salam untuk seluruh rakyat Malaysia – Mahmoud Abbas

Sementara itu Wisma Putra berkata, Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara dan Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB.

Related Articles

Back to top button