Global

Malaysia tidak akan pertaruh kedaulatan negara dalam menandatangani perjanjian antarabangsa

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan Malaysia tidak akan mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan pindaan bersasar dokumen Pindaan Bersasar Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005.

Beliau yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland bagi menghadiri Persidangan Kesihatan Sedunia Sesi Ke-77 (WHA77) pada 27 sehingga 31 Mei ini berkata, Malaysia sentiasa memastikan prinsip asas seperti kedaulatan dan autonomi, keadilan dan solidariti, ketelusan serta kesamarataan disuarakan dalam setiap rundingan.

“Malaysia hanya akan menandatangani perjanjian antarabangsa sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong, martabat raja-raja dan kedaulatan negara terjamin,” katanya melalui satu kenyataan.

Beliau menyatakan komitmen itu sebagai mengulas dakwaan pihak tertentu yang menuduh kononnya Malaysia mempertaruhkan kedaulatan negara dalam memuktamadkan IHR 2005.

“KKM ingin menegaskan penyertaan Malaysia dalam rundingan ini bertujuan menjaga kepentingan kesihatan awam negara dan wajib mematuhi tiga prinsip utama iaitu kedaulatan, kesamarataan dan pendanaan.

“Proses ini membabitkan pelbagai kementerian dan agensi dengan komitmen yang tinggi bagi memastikan kepentingan negara dan rakyat dilindungi,” tambahnya sambil menjelaskan instrumen itu hanya akan diangkat ke Jemaah Menteri untuk kelulusan hanya sekiranya prinsip asas tersebut dijamin.

Sementara itu sebagai mengulas delegasi ke Geneva beliau berkata, antara perkara utama bakal dibincang ialah perkembangan rundingan IHR 2005 dan rundingan bagi penyediaan Perjanjian Pandemik.

Beliau berkata, penubuhan kedua-dua platform berkenaan bertujuan memperkukuh aspek kesiapsiagaan, pencegahan, pengesanan dan maklum balas terhadap kecemasan kesihatan menghadapi pandemik di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.

“Perlu ditegaskan kedua-dua sesi rundingan ini diterajui sepenuhnya oleh negara anggota, manakala WHO hanya bertindak sebagai Sekretariat kepada kedua-dua sesi rundingan dan semua keputusan tertakluk kepada persetujuan negara anggota.

“WHO menyatakan Peraturan IHR yang dipinda tidak akan memberi hak kepadanya mengarah atau memaksa sesebuah negara mengenakan sebarang langkah kesihatan, termasuk sekatan atau perintah kawalan pergerakan atau lain-lain tindakan,” katanya.

Related Articles

Back to top button