Negeri

RM200 juta diperuntukkan untuk tingkat rangkaian internet luar bandar Sarawak

Kerajaan MADANI sedang berusaha meningkatkan liputan rangkaian internet di kawasan luar bandar, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Pada satu sidang media di Kuching, Sarawak pada Jumaat Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan dana berjumlah RM116 juta bagi pelaksanaan inisiatif Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN).

Manakala syarikat telekomunikasi pula bakal menyumbang RM28 juta setiap tahun bagi tempoh tiga tahun pelaksanaan inisiatif itu.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan menerusi MCMC, Kementerian Kewangan dan syarikat telekomunikasi adalah sebanyak RM200 juta

“Peruntukan itu bagi memastikan menara SMART 600 (Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak) dilengkapi dengan MOCN,” katanya.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahanan (MoU) SMART 600 MOCN disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

MoU itu dimeterai antara Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) bersama CelcomDigi Bhd, Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Sementara itu Julaihi berkata, usaha berterusan menambah baik perkhidmatan liputan rangkaian sentiasa dilaksanakan bagi membolehkan ketersambungan rangkaian memanfaatkan penduduk di bandar dan luar bandar.

BACA LAGI: Sekolah ditawar pakej internet lebih laju dan murah mulai 1 Julai

Penambahbaikan terhadap rangkaian itu yang memfokuskan kawasan luar bandar adalah penting dalam usaha Sarawak merealisasikan sasaran untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Menara SMART 600 adalah hasil usaha dengan Kerajaan Persekutuan sebagai ikhtiar mempercepatkan penyediaan liputan rangkaian di Sarawak.

“Sehingga kini 512 menara siap dibina secara fizikal, sebanyak 308 menara sudah ‘on air’ dan 247 menara sudah menggunakan perkhidmatan MOCN di seluruh Sarawak,” katanya.

Related Articles

Back to top button