Global

Tanah runtuh di Papua New Guinea: tiada rakyat Malaysia terlibat, kerajaan sedia hantar bantuan

Kementerian Luar (Wisma Putra) mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Mulitaka, Papua New Guinea, pada Jumaat.

Bagaimanapun menurut kenyataan Wisma Putra, pihaknya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby, Papua New Guinea sedang memantau insiden tanah runtuh itu.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby sedang giat menyelaras usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

“Malaysia merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan Papua New Guinea dan keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih 100 orang dikhuatiri terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Kaokalam di Wilayah Enga, kira-kira 600 kilometer ke barat laut ibu negara Port Moresby itu.

Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas untuk berwaspada dan berhati-hati, mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Port Moresby di talian +675-325 1506 / +675-325 2076.

BACA LAGI: Pengorbanan anggota bomba perlu difahami bagi memastikan negara terus selamat

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia hulur bantuan kemanusiaan kepada mangsa kejadian tersebut.

“Saya turut memikirkan nasib malang penduduk Papua New Guinea berikutan tanah runtuh dahsyat yang meragut lebih seratus nyawa di wilayah Enga.

“Malaysia bersedia untuk memberikan bantuan kepada saudara-saudara kita di PNG,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook hari ini.

Kejadian di kawasan terpencil, bergunung-ganang dan berceranggah pada awal pagi Jumaat itu menurut Anwar menjadikan respons kemanusiaan terhadap tragedi itu amat mencabar.

Related Articles

Back to top button