Semasa

Jualan Agro MADANI bantu rakyat jimat RM16.8 juta, jana jualan RM56.55 juta untuk usahawan

Penganjuran Jualan Agro MADANI oleh Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 1 Jan hingga 12 Mei lepas telah memberikan penjimatan pembelian bernilai kira-kira RM16.8 juta kepada rakyat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata program itu juga memberikan faedah kepada lebih 31,000 usahawan tempatan termasuk usahawan bimbingan kerajaan yang memasarkan produk masing-masing.

Bagi tempoh sama, usahawan tempatan telah mencatatkan nilai jualan berjumlah RM56.55 juta melalui 2,745 program Jualan Agro MADANI yang dianjurkan.

“Program ini membantu rakyat mendapat akses barangan seperti beras, ikan segar, sayur-sayuran dan buah-buahan secara langsung daripada pengeluar atau pengusaha dengan penjimatan harga sehingga 30 peratus kerana tidak melibatkan orang tengah,” katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Agro MADANI Mega di Tawau.

Jualan Agro MADANI dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui tiga agensi pelaksana iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

BACA LAGI: Kerajaan sedia dana RM100 juta bantu koperasi agromakanan

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 5,608 program Jualan Agro MADANI diadakan membabitkan 74,841 usahawan dengan nilai jualan RM93.74 juta.

“Tahun lalu program itu mencatatkan nilai penjimatan sebanyak RM27.8 juta kepada 11.6 juta isi rumah. Ini menunjukkan Jualan Agro MADANI mendapat sambutan baik dalam kalangan B40 serta M40,“ katanya sambil menyatakan KPKM menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 sesi Jualan Agro MADANI di seluruh negara pada tahun ini.

Related Articles

Back to top button