Semasa

KPKT mahu perkasa industri langskap sebagai sumber ekonomi baharu negara – Menteri

Usaha membangunkan industri landskap bakal diperkasa susulan potensi besar ditunjukkan industri itu sebagai sumber ekonomi baharu negara.

Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata kementeriannya menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport produk landskap.

Kementeriannya menjangkakan peningkatan nilai industri itu kepada hampir RM30 bilion sekali gus menyumbang dua peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sebagai contoh, tahun lalu kita telah pergi ke Arab Saudi di mana pulangannya sangat tinggi apabila kita berjaya mendapat RM150 juta melalui misi perdagangan untuk peniaga dari negara itu membeli produk landskap dari Malaysia.

“Antara produk landskap negara yang diterima baik di luar negara termasuk baja, pokok, bunga dan pelbagai lagi selain perabot taman di mana Malaysia adalah penghasil perabot kesepuluh terbesar di dunia,” katanya dalam satu sidang media selepas perasmian sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2024 di Taman Tasik Shah Alam pada Sabtu.

HLN 2024 bertemakan ‘Industri Landskap Pemacu Pembangunan MADANI’ diadakan selama 10 hari bermula semalam hingga 2 Jun ini bertujuan memberi peluang kepada penggiat industri untuk mempamer dan berinteraksi dengan lebih ramai pemegang taruh serta meluaskan jaringan perniagaan dan hubungan antara penggiat industri dan masyarakat.

Berlangsung di Taman Tasik Shah Alam di sini, sambutan HLN 2024 turut menyediakan pelbagai aktiviti dan program menarik serta informatif kepada pengunjung.

BACA LAGI: Menteri KPKT ingatkan PBT agar guna peruntukkan secara telus

Pada acara itu, KPKT turut menamakan satu spesies orkid hibrid baharu sebagai ‘Aranda Ibrahim Iskandar’ bersempena dengan nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Orkid berwarna oren kemerahan membawa maksud bersemangat, berani, tegas, dalam membuat keputusan, optimis dan berkepimpinan sekali gus menggambarkan keperibadian dan karakter Sultan Ibrahim dalam menaungi pemerintahan negara.

Related Articles

Back to top button