Semasa

PM Anwar gesa golongan muda fahami objektif setiap keputusan kerajaan

Golongan belia di negara ini diseru untuk memahami objektif di sebalik tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran semula subsidi bahan api dan elektrik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada ucapan perasmian sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan di Banda Hilir, Melaka pada Sabtu berkata, skim subsidi semasa di negara ini hanya menguntungkan pemilik perniagaan yang kaya, selain 3.8 juta warga asing.

“Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rasionalisasi subsidi diesel, ia mesti diambil peduli oleh golongan belia memandangkan ia secara langsung memberi kesan kepada golongan muda yang terbabit dalam perniagaan yang menggunakan diesel.

“Namun, mengapa kita menaikkan harga (diesel)… ini kerana pada masa ini terdapat berbilion (ringgit nilai) subsidi yang menguntungkan pemilik perniagaan kaya dan 3.8 juta warga asing.

“Oleh itu, jika ada pihak yang ingin menentang rasionalisasi subsidi diesel, saya akan bertanya mengapa kita perlu memberi subsidi kepada 3.8 juta warga asing yang tidak membayar cukai, (dan) mengapa kita perlu memberikan bantuan kepada golongan yang berada dalam keadaan maha kaya?,” tegasnya.

Anwar melalui Perutusan Negara baru-baru ini mengumumkan penyasaran subsidi diesel.

Melalui langkah itu, ia tidak lagi akan dinikmati golongan T20 serta 3.8 juta warga asing, sekali gus memberi penjimatan secara kasar kira-kira RM4 bilion setahun yang seterusnya boleh digunakan bagi menambah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

BACA LAGI: Pandangan golongan muda diambil kira dalam merancang pembangunan Selangor

Dalam pada itu Anwar sebagai mengulas mengenai rasional kenaikan tarif elektrik menjelaskan, ia tidak memberi kesan kepada 85 peratus rakyat, sebaliknya hanya memberi kesan kepada syarikat multinasional dan syarikat berorientasikan eksport besar yang mengaut keuntungan berjuta-juta terjejas.

“Justeru, mengapa kita perlu menurunkan tarif elektrik untuk mereka… bukan niat kita untuk membebankan mereka secara tidak wajar, (tetapi) mereka harus membayar mengikut harga sebenar.

“Ini adalah contoh yang harus difahami dan diterima golongan muda. Malah, saya percaya golongan belia harus menuntut yang lebih baik, memastikan subsidi hanya untuk golongan miskin, bagi mereka yang layak, golongan kurang berkemampuan dan bukan golongan kaya,” katanya.

Related Articles

Back to top button