Nasional

11,713 calon SPM 2023 peroleh semua A dalam semua mata pelajaran

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan seramai 11,713 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Pencapaian calon SPM bagi tahun 2023 di seluruh negara adalah lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan ialah 4.60 mata berbanding 4.72 pada 2022.

Azman berkata, seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.

Menurutnya, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2023, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 83,112 calon, berbanding 75,322 calon pada 2022.

“Seramai 131,480 calon (35.2 peratus) sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran pada keputusan SPM 2023, iaitu peningkatan sebanyak 3,296 calon (0.9 peratus), berbanding 128,193 calon atau 34.4 peratus pada 2022.

“Tahun ini peratus calon layak menerima sijil SPM adalah seramai 349,297 calon bersamaan 93.5 peratus berbanding 342,742 calon atau 91.6 peratus pada 2022,” katanya pada sidang media pengumuman analisis keputusan SPM 2023 di Kementerian Pendidikan (KPM) pada Isnin.

Tambah Azman, pencapaian SPM 2023 antara bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan, namun jurang pencapaian calon kekal pada 0.43 mata seperti SPM 2022.

Difahamkan, seramai 373,525 calon menduduki SPM 2023, berbanding 373,974 pada 2022.

Malah, calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan bermula jam 10 pagi sehingga jam 6 petang 2 Jun ini secara dalam talian di myresultspm.moe.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888.

Related Articles

Back to top button