Festival Turath Islami Selangor pupuk budaya keilmuan, kukuh akidah umat Islam
Festival Turath Islami Selangor 2024 kali kedua yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor bertujuan memperkukuh akidah umat Islam dalam negeri dan negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada ucapan Perasmian dan Daurah Hadis 40 (sesi 1) di Dewan Solat Utama, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Ahad berkata, penganjuran program itu menjadi titik penting kepada usaha memupuk budaya keilmuan sekaligus memperkukuh akidah umat Islam di dalam negeri dan negara.
“Pimpinan kerajaan negeri berpandangan bahawa untuk memartabatkan Islam, ia harus diisi dengan ilmu dan aktiviti kerohanian yang dianjurkan agama, berbanding menggunakan sentimen dan emosi semata-mata.
“Justeru, penganjuran festival ini adalah untuk mengisi ilmu berguna, diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti kebudayaan serta kesenian yang akhirnya akan membentuk sanubari kita yang bermakna,” katanya.
Festival Turath Islami Selangor bermula semalam sehingga 2 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Ia melibatkan 32 ativiti dalam 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40, Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan, Munaqasyah Ilmiah dan program selawat selain penglibatan 23 ulama serta ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara.
BACA LAGI: Selangor berhasrat perkenal Akademi Pengajian Turath
Mufti Besar Mesir yang juga ulama terkenal dunia, Al-Imam Al-Allamah Professor Dr Ali Jum’ah akan menyampaikan kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selama 5 hari, bermula 26 Mei (Ahad) sehingga Khamis (30 Mei).
Beliau turut dijadualkan hadir bagi Daurah Hadis 40 sebanyak 12 sesi untuk menghuraikan Hadis 40 karya Al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi.
Sementara pendakwa terkenal, Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar al-Hamid pula akan turut hadir berkongsi lima sesi ulasan sepanjang daurah berlangsung.