Hamzah elak jawab mengapa sibuk pertahan tauke kaya – PM Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyindir ketua pembangkang Hamzah Zainudin kerana mengelak daripada menjawab mengapa Ahli Parlimen Larut itu sibuk mempertahankan golongan kaya dan orang luar dalam isu subsidi.
Merujuk saranan Hamzah supaya perdana menteri turun ke pasar basah di sekitar ibu negara bagi meninjau kenaikan harga barang, Anwar menegaskan hampir saban minggu beliau turun ke warung-kecil kecil dan pasar.
“Dan setiap kali saya pergi, saya tanya harga barang, masalah mereka.
“Tetapi, saya ingat dia (Hamzah) nak elak dari jawapan tentang parti itu mendukung tauke-tauke kaya dan orang asing, itu dia belum jawab,” katanya.
Anwar berkata begitu selepas menghadiri Pameran Era Pascanormal Madani di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada Ahad.
Pada 21 Mei lalu, Anwar mengumumkan kerajaan akan mensasar semula subsidi diesel bagi memastikan ia benar-benar sampai ke golongan sasaran bukan golongan kaya atau warga asing.
Jelasnya, langkah itu dijangka dapat menjimatkan sehingga RM 4 bilion setahun dan ia boleh digunakan bagi meningkatkan bantuan untuk rakyat.
BACA LAGI: Adakah PN akan beri subsidi kepada orang kaya dan warga asing jika berkuasa?
Bagi mengekang kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak, kerajaan akan terus memberi subsidi diesel untuk 10 jenis pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barangan.
Langkah berani diumumkan Anwar itu mendapat respon positif dari banyak pihak memandangkan ia turut mempu mengekang penyeludupan bahan api itu.