Negeri

Kegiatan ekstremis agama, kumpulan ajaran sesat di Johor sentiasa dalam radar pemantauan PDRM

Kegiatan ekstremis agama, kumpulan ajaran sesat dan meragukan di negeri ini, sentiasa dalam radar pemantauan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, ciri-ciri mereka yang terlibat secara langsung dengan kegiatan tersebut bagaimanapun tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru itu, beliau memohon kerjasama masyarakat khususnya jiran tetangga bagi memberi maklumat dan melaporkan sekiranya terdapat kegiatan atau aktiviti mencurigakan.

“Kita tidak dapat menilai ideologi seseorang itu menerusi pandangan mata kasar.

“Sehubungan itu, maklumat awal daripada keluarga terdekat dan jiran tetangga ini adalah sangat penting dalam membuat pencegahan awal, berhubung perubahan sikap, tingkah laku dan aktiviti harian.

“Cawangan Khas Polis Johor akan sentiasa komited dalam memastikan kegiatan ekstremis agama, kumpulan sesat dan meragukan ini menjadi keutamaan, dalam menjamin kesejahteraan dan ketenteraman awam dalam negara umumnya dan Johor khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Kumar memaklumkan sebanyak 8,652 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah dalam tempoh empat bulan bermula Januari hingga bulan lalu.

Katanya tangkapan ini adalah adalah yang ketiga tertinggi di antara kontinjen dengan rampasan sebanyak 1.72 tan dadah bernilai RM13.37 juta.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menunjukkan pencapaian yang komprehensif dalam membendung aktiviti penagihan, penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

“Dalam tempoh itu juga berjaya menumpaskan lapan sindiket pengedaran dadah tempatan dengan skala tangkapan dan rampasan besar.

“Seramai 68 individu juga berjaya ditahan dalam tempoh itu bagi tangkapan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985,” katanya.

Related Articles

Back to top button