Sukan

Kementerian Komunikasi rancang guna teknologi 5.5G pada SUKMA Sarawak

Kementerian Komunikasi merancang untuk menggunakan teknologi 5G Advanced atau 5.5G pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak Ogos ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menerima permohonan daripada syarikat telekomunikasi yang berhasrat bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk penstriman langsung acara itu.

“Bezanya ialah kalau di peringkat 5G kita boleh dapat (kelajuan internet) sekitar hampir maksimum 1 Gbps, dengan 5G-Advanced dia boleh mencapai lebih lapan Gbps, lapan kali ganda lebih laju.

“Jadi kelajuan ini diperlukan terutama dalam bidang penyiaran sekiranya kita ingin sulam atau masukkan live elements tertentu dalam siaran, jadi saya nampak ini satu teknologi yang agak menarik dan kita akan usaha untuk melaksanakan sempena SUKMA nanti,” katanya.

Fahmi sebelumnya ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan anjuran Komuniti MADANI Sarawak yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Julina Johan.

BACA LAGI: RM200 juta diperuntukkan untuk tingkat rangkaian internet luar bandar Sarawak

Sementara itu beliau menjangkakan Malaysia berupaya menyediakan kemudahan internet menerusi perkhidmatan satelit “direct to device” atau terus ke peranti satelit pada 2026 atau 2027.

Ketika ini Malaysia jelasnya telah mengadakan perbincangan dengan tiga syarikat dari luar negara yang mengendalikan teknologi itu bagi membawa liputan 100 peratus internet ke kawasan berpenduduk, namun belum menerima sebarang permohonan daripada mereka bagi tujuan berkenaan.

Related Articles

Back to top button