Nasional

Media perlu bebas bergerak ikut acuan negara masing-masing – Menteri

Media perlu diberikan kebebasan untuk bergerak mengikut acuan negara masing-masing berdasarkan keadaan dan perubahan semasa kata Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Beliau juga mahu pengamal media terus memberikan maklum balas kepada kerajaan berkenaan keadaan media di negara ini.

“Media di Malaysia perlu dibangunkan dengan acuan di Malaysia. Inilah mesej yang saya terima daripada para ketua pengarang, terpulang kepada kita bentuk media Malaysia yang kita idamkan,” katanya kepada pemberita di Kuching selepas mengadakan pertemuan bersama ketua-ketua pengarang berita daripada pelbagai agensi media dan wakil pemberita Reporters Without Border (RSF).

RSF merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Paris.

Terdahulu, Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 yang bermula sejak Sabtu lepas akan melabuhkan tirainya dengan acara kemuncak perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berlangsung di sebuah hotel di Kuching, Sarawak, acara penuh gilang-gemilang itu akan turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan kira-kira 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan serta antarabangsa.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, bertujuan meraikan sumbangan pengamal media.

Related Articles

Back to top button