Anwar

PM Anwar bertemu pemimpin industri UAE di Putrajaya

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan tekad Kerajaan Perpaduan menjalin kerjasama pelaburan dunia ke Malaysia dengan mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Energy, Sheikh Mansoor Mohamed Al Hamed di Putrajaya.

Hari ini Anwar yang juga Menteri Kewangan mengambil peluang mengadakan perbincangan lanjut mengenai kemajuan pelaburan syarikat tenaga antarabangsa itu di Malaysia.

Anwar diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas usaha itu, Anwar memaklumkan bahawa perbincangan dengan Mubadala Energy itu berjalan dengan lancar dan mengikut landasan yang tepat.

“Malaysia mengalu-alukan perancangan pelaburan ini yang turut terkait projek-projek berimpak tinggi tenaga boleh diperbaharu.

“Kehadiran pelabur-pelabur yang kukuh seperti Mubadala Energy adalah selari dengan usaha kerajaan melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, syarikat berkenaan kini aktif dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbonan melalui pelaburan dalam pembangunan rantaian nilai seperti hidrogen biru dan penangkapan karbon, penggunaan dan penyimpanan (CCUS).

“Sehubungan itu, saya maklumkan sokongan kerajaan dalam memastikan pelaburan-pelaburan asing berjalan lancar dan memulakan operasi mengikut jadual,” katanya.

Related Articles

Back to top button