Semasa

Sistem sekolah satu sesi mekanisme kurangkan beban tugas guru – Timbalan Menteri

Bebanan tugas serta masalah kekurangan guru bakal diatasi apabila sistem satu sesi di semua sekolah di seluruh negara dilaksana semula sepenuhnya.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh kementerian itu komited memastikan sistem itu dapat dilaksana.

“Sememangnya hala tuju KPM ialah untuk melaksanakan sekolah satu sesi.

“Sekiranya sekolah terbabit cukup syarat yang mengizinkan sekolah satu sesi akan dilaksanakan tetapi sekiranya keadaan sekolah terlalu padat maka dua sesi akan diteruskan,” kata Ahli Parlimen Taiping itu.

Wong ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Masuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuh Hua di Ipoh pada Ahad.

Sebelum ini Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya memberi tumpuan untuk memastikan semua sekolah yang ketika ini mempunyai dua sesi menjadi satu sesi (pada masa akan datang).

Bagaimanapun jelasnya, usaha itu memerlukan banyak perancangan dan penglibatan daripada pihak bagi memastikan isu-isu berbangkit ketika ini dapat diselesaikan dengan baik.

Antara perkara yang perlu ditangani terlebih dahulu antaranya berkaitan masalah sekolah padat.

BACA LAGI: Selangor lanjutkan tempoh kuatkuasa garis panduan pemutihan sekolah agama, tahfiz

Sementara itu menurut Wong antara usaha jangka panjang untuk menyelesaikan isu sekolah padat khususnya di kawasan bandar adalah dengan pembinaan sekolah baharu dan tahun ini 26 sekolah rendah serta menengah yang baharu akan dibina.

“Setiap kawasan yang memerlukan sekolah kita akan cuba membina sekolah di kawasan itu, pada masa sama mengambil masa dalam pelaksanaan sekolah satu sesi itu,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button