Nasional

Tiada kesalahan Kerajaan Selangor beri kontrak kepada suami Hannah Yeoh – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang kaitan pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan Selangor dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini tiada sebarang kesalahan mengikut undang-undang susulan pemberian kontrak terbabit kepada suami Hannah.

“Kita melihat dari segi undang-undang apabila seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan, tetapi yang mendapat (kontrak) itu tiada kena mengena dengan tugas dan tanggungjawab (pihak yang dibangkitkan)… itu bukan kesalahan.

“Contohnya seperti yang dilaporkan media mengenai suami Hannah Yeoh yang mendapat kontrak daripada Selangor dan menteri itu tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

“… tetapi ia berlainan sekiranya KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga, Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd ialah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

DRT adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam dan mobiliti di Selangor.

Syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Related Articles

Back to top button