Semasa

JWP fokus usaha selesai isu IMM13, lambakan warga asing – Dr Zaliha

Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memfokuskan usaha untuk Isu pengurusan pelarian Filipina di Sabah terutama di Labuan yang sudah berlarutan sejak sekian lama selain masalah lambakan warga asing di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan malam tadi berkata, perkara itu antara yang dibincangkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan Bil 1/2024 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin.

“Mesyuarat tertumpu kepada pelbagai isu keselamatan dan ketenteraman awam termasuk IMM13 di Labuan dan lambakan warga asing,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Dianggarkan bilangan pelarian Filipina di Sabah kini mencecah 136,055 orang, Zaliha di Dewan Rakyat pada Mac lalu berkata, kerajaan bercadang mengadaptasi IMM13 sebagai dokumen tunggal untuk memudahkan pengurusan pelarian Filipina di Sabah pada masa hadapan,

Sementara itu menyentuh masalah lambakan warga asing terutama isu penempatan haram warga Rohingya di Bandar Baru Sentul yang tular di media sosial baru-baru ini beliau memberi jaminan perkara itu akan ditangani segera.

Bagi tujuan itu, satu unit khas dikenali sebagai ‘KL Strike Force’, ditubuhkan bagi menangani isu keselamatan termasuk peniaga jalanan, penjaja, peniaga kecil, gelandangan serta isu semasa lain yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan.

BACA LAGI: JWP tubuh tiga pasukan petugas khas, pacu semula ekonomi Labuan

Unit khas tersebut jelasnya akan bertindak secara bersepadu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Penguatkuasaan secara bersepadu ini akan dijalankan serta-merta di kawasan ‘hotspot’ termasuk tindakan ke atas hantaran yang tular di media sosial,” Tambah Dr Zaliha.

Related Articles

Back to top button