Kemudahan hubungan G2G bantu rangsang pertumbuhan ekonomi Islam antara negara OIC
Malaysia merancang untuk melaksanakan kemudahan hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G) bagi memanfaatkan pembiayaan perdagangan Islam dalam kerjasama ekonomi antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Islam.
“Memandangkan saiz global kewangan perdagangan Islam hari ini hanya kurang daripada lima peratus daripada anggaran jumlah aktiviti pembiayaan perdagangan oleh negara anggota OIC, maka saya menyeru pemimpin OIC untuk ‘meningkatkan taruhan” dan memudahkan akses rentas sempadan’ bagi meningkatkan inovasi, perdagangan dan pelaburan,” katanya ketika merasmikan Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar, delegasi antarabangsa dan pengamal media.
Pada masa yang sama Anwar berkata, ekonomi Islam perlu sejajar dengan Maqasid Syariah dan tidak seharusnya terikat dengan pemikiran hukum semata-mata.
Anwar dalam ucapannya berkata, ia juga harus diperluas kepada cabaran baharu industri antaranya sekuriti makanan, sektor digital, kecerdasan buatan (AI) serta prinsip keadilan.
Forum anjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) itu berlangsung selama dua hari bermula hari ini bagi membincangkan serta memajukan ekonomi serta kewangan Islam khususnya dalam kalangan Pertubuhan kerjasama negara-negara islam (OIC).
Bertemakan ‘Shaping a Resilient Global Islamic Economy Through Values-based Reforms’, GFIEF menghimpunkan para penggubal dasar, peneraju perniagaan dan penyedia perkhidmatan kewangan dari seluruh dunia.