Semasa

Lindungi rakyat dari perpecahan lebih utama dari kejar markah kebebasan media – PM Anwar

Usaha menyelamatkan negara dan melindungi hak rakyat dari ketaksuban perkauman dan agama lebih penting berbanding memperoleh markah tinggi untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai mengulas kemerosotan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) baru-baru ini berkata beliau tidak kisah perkara itu dan akan terus mengambil tindakan keras terhadap ketaksuban yang membawa perpecahan dikalangan rakyat Malaysia.

“Saya tidak kisah, tak mengapa jika kedudukan negara kita diturunkan hanya kerana kita mengambil tindakan keras terhadap golongan yang fanatik dalam isu perkauman dan agama kerana bagi saya, untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi hak rakyat majoriti serta minoriti adalah lebih penting daripada memperoleh markah yang tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Jika anda membiarkan ketaksuban dalam isu perkauman atau fasisme atau agama membiak, maka anda perlu menjangkakan kemungkinan wujudnya ketidakharmonian agama,” katanya pada ucapan perasmian sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

Mengulas lanjut Anwar mengakui perlunya kebebasan media dipertahan, namun dalam masa sama ada batasannya supaya ia tidak meruntuhkan sendi negara.

BACA LAGI: AMK Sarawak puji ketegasan PM Anwar menentang cubaan pecahbelah rakyat

Memberi contoh isu melibatkan 3R (agama, kaum, dan raja), ia bukan untuk menakutkan atau menggambarkan seolah-olah ia tidak boleh ‘disentuh’ langsung sebaliknya ia adalah untuk melindungi negara daripada perpecahan.

“Batasannya adalah apabila kita menggunakan ruang untuk memecahbelahkan, menanam bibit permusuhan yang akan meruntuhkan sendi negara ini. Sebab itulah kita punyai tugas dan tekad politik untuk menyatakan batas yang diperlukan.

“Ia mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pandangan terutama di Barat, sebab itu saya katakan dalam era pascanormal yang disebut ‘chaos, complex’ dan penuh dengan pertembungan itu menuntut kita juga memikir kaedah yang benar,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button