MOF umum Budi Madani, salur subsidi diesel RM200 sebulan untuk yang layak
Kerajaan akan menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel individu, petani, dan pekebun kecil komoditi di bawah Program Bantuan Subsidi Madani atau Budi Madani.
Langkah tersebut mencerminkan usaha bersepadu jentera kerajaan dalam memastikan mekanisme penyasaran subsidi diesel adalah komprehensif, cekap dan berkesan supaya sektor logistik dan majoriti rakyat terus dilindungi seiring pelaksanaan penyasaran subsidi diesel seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu boleh membuat permohonan di bawah kategori BUDI Individu manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori BUDI Agri-Komoditi.
Mereka yang layak boleh membuat permohonan bagi bantuan itu mulai hari ini melalui https://budimadani.gov.my.
“Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI atau BUDI MADANI iaitu membabitkan pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
“Pelaksanaan ini susulan kenyataan Perutusan Negara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel membabitkan pengguna di Semenanjung,” kata Amir Hamzah dalam kenyataan pada Isnin.
“Seperti yang sering ditekankan Perdana Menteri, penyasaran subsidi diesel adalah antara langkah reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI, bagi membina kemampanan kewangan Kerajaan serta Malaysia yang lebih berdaya saing,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi permohonan yang dibuat dan diluluskan sebelum 3 Jun ini, pemohon akan menerima BUDI MADANI pertama menjelang pertengahan bulan depan dan bantuan seterusnya akan disalur secara bulanan.
Permohonan yang diluluskan selepas 3 Jun, akan menerima BUDI MADANI pertama dalam tempoh dua minggu dan seterusnya secara bulanan.
BUDI MADANI akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima setiap bulan manakala penerima tanpa akaun bank boleh menuntutnya secara tunai di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh Semenanjung.
BACA LAGI: Penyasaran subsidi bahan api langkah amat terpuji, kata Ku Li
Kriteria kelayakan bagi kategori BUDI Individu ialah pemohon warganegara Malaysia, memiliki kenderaan diesel persendirian yang berdaftar dengan JPJ, kenderaan dimiliki mempunyai cukai jalan aktif dan pendapatan tahunan individu atau pasangan RM100,000 ke bawah.
Kelayakan bagi BUDI Agri-Komoditi pula ialah pemohon berdaftar sebagai petani atau pekebun kecil dengan agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) atau Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan hasil jualan pertanian tahunan antara RM50,000 dan RM300,000.
“Setiap permohonan diterima akan disemak silang dengan data di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi mengecualikan pemilik kenderaan mewah di bawah usia 10 tahun dan individu berpendapatan tinggi (T20),” katanya.