Anwar

Pelaburan RM3 bilion KWAP melalui Dana Pemacu diumum PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bakal melabur sebanyak RM3 bilion melalui Dana Pemacu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia menggunakan 50 peratus daripada keseluruhan dana iaitu RM6 bilion dan dilaksanakan dalam bentuk pelaburan patuh syariah bagi menyokong pertumbuhan tinggi yarikat tempatan Malaysia dan juga memangkin ekosistem pelaburan teroka.

Menurut beliau, Dana Pemacu akan menjadi strategi pelaburan ekuiti swasta yang berfokus di negara ini dengan menyasarkan sektor utama termasuk keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi digital, penjagaan kesihatan dan perkara lain di bawah Kerangka Kerja Ekonomi Madani.

“Pelancaran Dana Pemacu oleh KWAP selaras dengan pembaharuan yang lebih meluas oleh kerajaan.

“Ia bagi mengoptimumkan dana Syarikat Pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memacu pelaburan ke dalam syarikat di Malaysia supaya berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) bertempat di Pusat Konvensyen di KLCC pada Selasa.

Dalam ada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menubuhkan ‘Social Exchange’ pertama di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mempergiatkan dan meningkatkan ekosistem pelaburan di negara ini.

Anwar berkata, ia merupakan pendekatan berstruktur untuk penyertaan modal swasta dalam projek dengan hasil sosial yang positif.

Menurut beliau, pendekatan tersebut malah akan memberi manfaat kepada entiti seperti badan bukan kerajaan (NGO), perusahaan sosial dan Majlis Agama Islam Negeri.

Related Articles

Back to top button