Politik

KEADILAN Wilayah Persekutuan bina momentum, kekuatan hadapi PRU16 akan datang

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Wilayah Persekutuan perlu segera membina kekuatan bagi membela nasib rakyat dan untuk menghadapi pilihan raya umum kelak, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah yang baharu dilantik, Datuk Zainal Abidin.

Beliau berkata, KEADILAN Wilayah sentiasa komited untuk menjalinkan kerjasama erat bersama rakan-rakan komponen Kerajaan Perpaduan yang lain bagi memastikan Wilayah Persekutuan terus menjadi kubu kuat agenda reformasi demi memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat.

“Saya menyatakan komitmen yang jitu untuk bekerjasama erat bersama pucuk pimpinan parti terutamanya di peringkat Wilayah Persekutuan bagi membina momentum kekuatan jentera parti bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang akan datang.

“Gerak kerja politik khidmat melalui program-program di lapangan bersama masyarakat akan menjadi teras utama dalam mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi pada pilihanraya kelak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan pengharagaan kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan mandat untuk dirinya mengemudi KEADILAN Wilayah Persekutuan sebagai Pengerusi MPN.

“Saya menyeru seluruh saf pimpinan parti di peringkat Wilayah Persekutuan untuk kita bersama menggembleng tenaga untuk menjayakan aspirasi Perdana Menteri untuk memelihara kesejahteraan negara melalui kerangka Malaysia Madani yang menjadi acuan sebuah masyarakat maju dan bertamadun bertunjangkan sikap saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Pada Ahad lalu, Ketua Penerangan KEADILAN, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mengumumkan bahawa Majlis Pimpinan Pusat parti yang diketuai oleh Anwar telah merombak kepimpinan negeri, dengan pertukaran dibuat berhubung beberapa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi. Antaranya, di Sabah, Pahang, Johor, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.

Related Articles

Back to top button