Kerajaan peruntukkan RM20 juta, jadikan Kuala Lumpur destinasi kreatif bertaraf dunia
Kerajaan komited untuk meremajakan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai destinasi kreatif bertaraf dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Bagi tujuan itu jelasnya, kerajaan telah memperuntukkan dana RM20 juta melalui Program Geran Kreatif KL untuk melaksana projek-projek flagship yang akan memberi hela nafas baharu kepada Kuala Lumpur.
“Program Geran Kreatif KL ini perlu melibatkan penyertaan aktif komuniti dan pelbagai pihak bagi memastikan pendekatan merejuvenasikan Pusat Bandar Kuala Lumpur yang penuh dengan sejarah ini dilaksanakan secara bersama-sama.
“Melalui usaha seperti ini, saya berharap agar kawasan ini dapat dinaik taraf sebagai pusat kebudayaan dan kreativiti, sekali gus dapat menarik lebih ramai pelawat, pelabur dan juga penduduk untuk berkunjung dan menikmati keunikan budaya Malaysia di ibu kota negara ini,” katanya ketika memberi ucapan pelancaran Program Geran Kreatif KL pada Selasa.
Program Geran Kreatif KL ini adalah sebahagian daripada inisiatif nasional yang bertumpukan kepada peremajaan Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai sebuah daerah kreatif dan kebudayaan menerusi usaha komprehensif bermula dengan radius 3km sekitar kawasan pertemuan Sungai Klang dan Gombak.
Ia direka mengikut beberapa tema utama iaitu Peremajaan Ruang,Penyemaian dan/atau Pengembangan Perniagaan Kreatif & Budaya, Kandungan dan /atau Pengaktifan Kreatif,Peningkatan Daya Tahan Alam Sekitar, Digitalisasi dan Pembinaan Kapasiti.
Program ini juga bertujuan untuk memenuhi keperluan dan menangani pelbagai cabaran di Pusat Bandar Kuala Lumpur dari meningkatkan ruang awam hingga menggalakkan inovasi digital dengan setiap tema memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan pusat bandar.
“Geran terbuka kepada sesiapa yang berminat dan kita memberikan serendah RM30,000 sehingga maksimumnya RM300,000,” jelas Dr Zaliha.
BACA LAGI: Kuala Lumpur di kedudukan ke-73 bandar raya terpintar dunia
Sementara itu tambahnya, program berkenaan adalah usaha jangka panjang yang memerlukan usaha konsisten dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, baik sektor swasta, komuniti dan orang awam untuk mencari sebuah penyelesaian yang kreatif dan inovatif.
“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama berganding bahu menjayakan usaha ini kerana sudah pasti pada penghujungnya manfaat ini adalah untuk semua pihak,” tambahnya.