Teknologi

Malaysia mampu jadi kuasa besar semikonduktor serantau – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Malaysia mampu memain peranan besar dalam industri sumber tenaga boleh baharu (TBB) serta sektor semikonduktor.

Pada ucapan di persidangan SEMICON Asia Tenggara 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa, beliau yang juga menteri kewangan berkata, kerajaan menyasarkan untuk mempunyai 40 peratus campuran tenaga utama Malaysia dalam sektor itu menjelang 2035.

“Kerajaan menyokong (usaha) meneroka teknologi baharu seperti hidrogen hijau, teknologi nuklear dan penyimpanan tenaga berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil dan memenuhi matlamat Perjanjian Paris 2015,” jelasnya.

Sementara itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya malam tadi Anwar berkata, dengan kedudukan geopolitik yang neutral, Malaysia menawarkan diri sebagai lokasi berkecuali bagi pembuatan semikonduktor, bagi membina rantaian bekalan semikonduktor yang lebih lestari dan terjamin.

“Saya juga telah meluncurkan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (‘National Semiconductor Strategy’; NSS). yang telah digubah dalam masa enam minggu sahaja untuk memajukan industri semikonduktor tempatan, syabas saya ucapkan kepada MITI dan semua pihak yang terlibat.

“NSS memberi dasar yang jelas untuk mengangkat Malaysia menjadi penyumbang terulung kepada rantaian bekalan global seperti didamba dalam kerangka Ekonomi MADANI.

“Dengan adanya bidang semikonduktor yang lebih cerdas dan segar, keseluruhan ekonomi Malaysia juga akan dapat mengharungi arus kemajuan tekonologi yang kian deras,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

BACA LAGI: Kerajaan tubuh NSSTF, khusus tarik pelaburan strategik sektor semikonduktor

Terdahulu dalam ucapan di persidangan tersebut, Anwar turut menyatakan keyakinan Malaysia berupaya muncul sebagai hab utama bagi pembekalan cip kuasa untuk kenderaan elektrik (EV).

“Menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), kita sebenarnya telah mempunyai pengupaya dasar serta insentif yang tepat untuk syarikat yang mahu mengeluarkan cip itu di sini,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button