Negeri

Selangor cadang bangun taman semikonduktor, rebut peluang pelaburan

Kerajaan Negeri Selangor sedang giat mengintai peluang bagi meraih manfaat dari pelaburan industri semikonduktor, jelas Menteri Besar.

Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pentadbirannya sedang merangka pelan pembangunan kawasan industri semikonduktor bagi menarik lebih banyak pelaburan, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi negeri dan mewujudkan lebih banyak pekerja berkemahiran.

Agensi kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) jelasnya kini dalam proses meneliti cadangan membangunkan taman semikonduktor di negeri itu.

“Taman berkenaan akan dibangunkan di kawasan baharu. Kita sedang mengenal pasti keperluannya kerana perlu menepati ciri-ciri untuk mengisi keperluan industri semikonduktor,” katanya kepada wartawan pada majlis makan tengahari sempena penganjuran SEMICON Asia Tenggara 2024 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Terdahulu Amirudin dalam ucapan di berkata penglibatan Selangor dalam reka bentuk litar bersepadu (IC) bertujuan melonjakkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai daripada sekadar pemain kepada pemain strategik dalam ekosistem lebih luas.

“Inisiatif ini bertujuan melatih lebih daripada 300 jurutera dan kita juga telah mendapat minat pengendali utama. Namun, masih ada peluang keemasan lain yang boleh kita wujudkan kerjasama,” katanya.

BACA LAGI: Selangor teroka bidang semikonduktor dan teknologi AI, meterai MoU di Taiwan

Sektor semikonduktor telah bertapak di Selangor sejak 1970-an dan pengembangan ekosistem terbabit sedang giat diusahakan sejak tahun lepas bagi memanfaatkan permintaan tinggi terhadap produk berkaitan.

Malah, antara pemain yang bertapak sejak beberapa dekad di Selangor adalah syarikat Amerika Syarikat Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd dan NXP Malaysia Sdn Bhd, jelasnya lagi.

Related Articles

Back to top button