Nasional

3,125 peluang pengajian ditawar lagi dalam bidang TVET kepada pelajar Malaysia di China – Zahid

Sebanyak 3,125 lagi peluang pengajian ditawarkan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar Malaysia di China.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini hanya 2,000 tempat dibuka kepada belia Malaysia untuk memanfaatkan perkongsian kepakaran antaranya berkaitan automotif dan kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi internet pelbagai benda (IoT).

Ketika ini, Malaysia telah menghantar seramai 850 pelajar untuk menjalani kursus jangka pendek, sederhana dan panjang di institusi berkaitan bermula bulan ini hingga tahun depan secara berperingkat.

Kos pengajian dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri di China antaranya ‘Beifang International Education Group’ (Beifang) serta ‘Tang International Education’.

Manakala Malaysia hanya perlu menyediakan tiket penerbangan untuk pelajar berkenaan.

“Ini adalah hasil daripada kerja yang telah dilakukan oleh belia mahir, pihak ‘Malaysia-China Institute’ (MCI) terutamaya GiatMARA dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Untuk itu, kita akan menawarkan 500 tempat untuk pelajar Malaysia keturunan Cina, 200 India, 200 pelajar Sarawak dan 200 tempat di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas melawat ‘Beifang Automotive Education Group’ di China.

Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, persetujuan pertambahan kuota pelajar itu diterima segera sejurus selepas pertemuannya bersama-sama Perdana Menteri China, Li Qiang, pada Rabu.

Katanya, lebih banyak tawaran akan dibuka China kepada pelajar Malaysia dalam bidang TVET selaras kolaborasi stategik MCI melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET di Malaysia.

Ini juga peluang meneroka pembangunan kerjaya serta melonjakkan kebolehpasaran graduan, selain mewujudkan gaji premium kepada belia berkemahiran tinggi.

Sementara pihak Beifang juga akan menghantar peralatan latihan termasuk enam unit kereta EV dan hidrogen kepada GiatMara untuk dijadikan model latihan bagi pelajar.

Related Articles

Back to top button